Sudah 2 minggu kenaikan harga bahan bakar dan aku dapat nampak satu paten. Paten ini baru sahaja dikenalpasti. Tak tahulah jika kamu perasan dengan perubahan ini, tapi aku tetap mahu berkongsi pemerhatian yang aku buat.
Sebelum harga bahan bakar naik, barisan kanan jalan raya dimonopoli kenderaan bersaiz kecil dan sederhana dan tak ketinggalan pacuan 4 roda. Tujuan mereka di barisan kanan adalah untuk mereka memandu laju agar cepat tiba atau tiba tepat pada destinasi tujuan mereka.
Di barisan kiri pula, tipikalnya kenderaan berat yang dibahagian belakangnya ada pelekat/dicat dengan halaju 70 untuk jalan biasa dan 80 untuk lebuh raya. Atau 80/90. Itu sahaja. Tak lebih, kurang digalakkan.
Itu sebelum kenaikan harga bahan bakar yakni kira-kira 2 minggu lepas. Berlainan pula selepas kenaikan dikenakan. Dapat kita saksikan bas ekspres berlumba, menyelit di celah kesibukan trafik dengan lori pikap. Mereka lebih laju dari kebanyakan kereta yang enjin berkapasiti lebih dari 2.0 liter. Kenderaan kecil dan sederhana memilih untuk memandu perlahan kerana kesedaran yang dihebahkan sesetengah pihak mula memberi kesan kepada mereka termasuk aku.
Dahulunya aku memandu dengan purata 100km/j dan sekarang yang paling laju pun 70km/j itupun jika aku betul-betul kena kejar masa, lain-lain kelajuan purata adalah 50km/j. Kenderaan berat pula ambil pendekatan 'reverse psychology', cukup untuk mendidihkan darah setiap pemandu kenderaan saiz kecil dan sederhana.
Jalan lurus tak ada bukit atau turun bukit bukan main mereka merempit. Sampai lampu trafik, perlahan dan berhenti dan nak masuk gear 1 balik lembabnya mengalahkan itik pulang ke petang. Begitu juga dengan mereka hendak mendaki bukit, semput-semput sampai ada yang terpadam enjin. Begitu keras kepala mereka. Bukannya mereka tak tahu prestasi kenderaan berat macam mana, mereka lebih fasih dari aku kerana mereka yang pandu.
Jangan disebabkan barisan kiri kegemaran mereka kini dikuasai oleh kenderaan kecil dan sederhana, berlakunya kemalangan besar kelak. Dah nama pun laju; awak besar bukan main, ingat brek mereka tu macam brek kenderaan kecil/sederhana?
Eh, kamu tak perasan ke? Jaga-jaga ya selepas ini bila nak memotong, tak pasal-pasal jadi apam kena langgar dengan lori simen dari belakang.