Selasa, Jun 10, 2008

Petualang Alfa : Miskonsepsi

Tak cukup tidur. Dapat 2 jam lelap mata setelah seharian bekerja adalah sangat tidak berbaloi. Keseimbangan tak ada. 8 jam dikompres jadi 2, aku manusia; perlu dimanjakan. Er...maksud aku, perlu ikut normaliti. Ikut resam. Ikut tipikaliti.

Konsekuensi kepada kekurangan tidur. Apa dia? Nak senaraikan banyak tapi aku ambil yang betul-betul beri kesan kepada jalan cerita hari ini.

Mata merah macam mat fit; kecil, terkedip-kedip. Mulut sering ternganga, ibarat satu ritual tidur tanpa perlu tidur. Jalan terhuyung-hayang, bawa kenderaan ke kiri ke kanan, silap-silap makan bahu jalan, tidur hospital lebih sebulan.

Dari jauh aku nampak ada kereta dari arah bertentangan bagi lampu tinggi. Baik, aku pasang tali keledar. Jadi munafik kejap. Aku tengok cermin sisi, mata aku merah laksana biji saga. Cermin mata aku belum boleh menutup redup sedih, jadi aku ambil keputusan untuk pakai sunglasses, tampak lebih urban lagi menutupi kecelaan.

Rabun aku walaupun tak kronik, menggagau juga bila aku memandu. Aku pasti semua orang tahu drill lampu tinggi; jika tidak pemeriksaan dari pihak berkuasa, pasti ada malang yang tak berbau nun di hadapan sana. Bencana alam misalnya, pokok rebah merentasi jalan, air parit melimpah membanjiri jalan atau kerbau mati tengah jalan.

Dalam kes ini, pemeriksaan jalan raya yang dikendalikan seragam putih hitam. Aku perlu bersedia, aku memang tiada mood mahu bersosial dengan autoriti dan takkan pernah. Tali pinggang keledar tersemat kemas, kaca mata hitam berjaya menyorokkan mata nan merah, mulut yang bau petai kebetulan baru lepas makan sambal petai dineutralkan baunya dengan mints. Aku bersedia. Tangan kanan aku juga sudah bersedia untuk melambai ikhlas jika tiada apa-apa komplikasi sedang mereka memerhatikan aku sebentar nanti.

Masa yang ditunggu telah tiba. Begitu terperinci pemeriksaan mereka, sebiji kenderaan mengambil masa 5 minit untuk diperiksa. Sampai giliran aku.

'Bagi IC dan lesen.'

'Nah.'

'Tolong tanggal cermin mata.'

'OK.'

'Encik diminta keluar dari kenderaan.'

Sial. Aku dah agak dah. Memang kena punya.

'Stim apa dik?'

'Saya bersih. Setakat ni lah. Rasa-rasanya.'

'Hembus kat sini. Kemudian pergi mana-mana semak dan isi sampai setengah pun jadilah.'

Orang mula memandang. Orang mula berkesimpulan. Orang mula beri tohmahan. Orang mula miskonsepsi. Malas mahu bertekak, aku turutkan juga kehendak autoriti tersebut. Melangkah malas ke celah semak, turun zip, isi, tutup zip.

'Nah.'

Selang beberapa ketika.

'Berapa banyak tawas kau telan?'

'Abang cerita apa ni?'

'Saya perhatikan kamu, macam helang.'

Nasib baik tak terhambur gelak. Aduh lah... Ayat tak macam besar sial. 'Saya perhatikan kamu' sudah habis lucu, dia tambah lagi 'macam helang'. Aku tahan. Aku hidupkan enjin, berdesit. Jauh kelibat, aku lepaskan gelodak lucu kolosal.

Macam bagus. Itulah, banyak sangat televisyen.