Kenapa faktor umur tak lagi menjadi ukuran dalam pergaulan?
Entah kenapa hari ini aku rasa berangin 1 badan. Banyak sangat makan nangka kut. Aku cuba cari sebab sampingan kerana tak mahu sebab utama aku jadikan prioriti.
Jadi dengan adanya nangka, secara perlahan aku menidakkan penglibatan ketara mereka dalam menjadikan aku serba bengis hari ni. Aku tak boleh nak baran-baran. Ada bayi dalam rumah. Tak habis melalak sajalah kerjanya nanti sebab tengok ada benda ikut aku di sekeliling tubuh.
Nangka. Buat apa aku nak marah dengan dia. Walaupun ia satu hidupan, aku tak dapat nak berinteraksi secara langsung dengannya. Tak jumpa telinga dan mulut nangka. Komunikasi antara manusia dengan tumbuhan memerlukan banyak bantuan dari segi ilmu botanikal. Dan teka apa? Aku tak tahu satu hapah pun tentang ilmu botani. Yang aku tau tiap-tiap pagi aku akan bagi pokok orked Ibu campuran sodium, klorida, kalsium dan beberapa mineral lain yang bergantung kepada apa yang aku hadam pada sebelah malamnya.
Tak boleh. Aku kena salurkan juga marah aku ke tempat yang lain. Puas sudah aku siram dengan air, api dari sekecil-kecil nyalaan mancis kini sudah galak bak kebakaran hutan di Indonesia suatu masa dahulu yang mengundang jerebu ke negara sekitarnya.
Bermulanya episod kepal buku lima hari ini dengan aku ke pekan untuk membeli sekotak rokok. Macam tak biasa pula, rutin harian. Sedang aku berinteraksi dengan beberapa kenalan, kedengaran sekumpulan kanak-kanak yang baru pulang dari tuisyen buat bising di sudut kedai tempat aku beli rokok.
Datang pula intuisi nak tahu apa yang membuatkan mereka sebegitu entusias. Jadi, aku meminta diri dan berjalan menuju ke sudut kedai.
Aku menepuk dahi. Aku kerutkan kening. Aku naikkan bibir atas. Aku geselkan gigi. Aku tarik nafas sedalam yang boleh.
Aku tempik.
Sedikit pun mereka tak rasa bersalah memomok-momokkan seorang bisu dan cacat anggota yang duduk mengharap belas ihsan orang. Salah seorang daripada mereka, mujur aku tempik tepat pada masanya, cepat-cepat naikkan zip seluar.
Apa yang mereka belajar di sekolah? Aku rasa cikgu mereka dah bekalkan mereka dengan sehabis baik ilmu. Di rumah pula mustahil ibu bapa mereka menjadi besar sial yang ludah muka orang cacat, sepak kepala orang buta.
Lepas aku tempik, mereka tak pergi begitu sahaja. Mereka masih lagi berdiri dan pandang aku dengan renungan paiseh.
'Kau sibuk-sibuk apehal brader?'
'Huh?'
Kanak-kanak. Lingkungan 10 ke 12 tahun. Cakap sebegitu kepada orang yang normal dan berperilaku sedemikian rupa kepada mereka yang kurang upaya.
Mujur orang ramai mula berkumpul. Mereka lari bersepah. Ingin saja aku selinsing seluar atas betis dan kejar dan kemudiannya benam kepala mereka bersama longgokan najis di loji rumah awam yang berdekatan.
Kaki aku sakit lagi. Aku pun pulang.
Baru aku tahu kenapa telefon berkamera serta kamera saiz poket sangat penting dewasa ini. Material muka hadapan beb! Air liur sajalah jadi saksi.