Sabtu, Jun 28, 2008

Petualang Alfa : Capaikan Aku Kapak Tu Boleh? Nak Menetak Ni, Duduk Jauh-jauh Sikit

Esok ada kenduri. Lagi. Tak habis-habis dengan kenduri sajalah.

Kenduri sempena kubur Atok bersalin nisan. Dulu kayu kini batu, itu pun nak kena buat kenduri juga. Lantaklah, sesen haram aku tak payah keluar. Makan kencang, lamb chop beb. Lu apa cerita?

Tak manis pula kalau tak menolong. Jadi aku melangkah malas dengan hasrat bila tiba di rumah nenek segalanya telah beres. Silap perhitungan masa. Sampai sahaja Imam baru lepas sembelih. Memang kena buat kerjalah jawabnya.

Sebatang rokok dinyalakan. Telinga disumbat dengan alunan muzik kencang daripada Every Time I Die. Depan mata aku seekor kambing yang terkulai layu diikat dan digantung. Aku tak rasa apa-apa lagi. Darah aku dah biasa main. Siap main hirup-hirup lagi jika jari terhiris pisau potong ayam, pisau parang Nenek panggil.

'Kau pegang badan dia, Pak Ngah nak lapah kulit ni. Stand still. Don't move even an inch.'

'Jap. Nak minum teh dulu.'

'Rokok tu habiskan. Dah nak mampus sangat orang-orang muda zaman sekarang.'

'Hello, mild stress boleh dikawal dengan tembakau ya.'

'Alasan. Cepat. Dah lenguh tangan Pak Ngah tampung kambing ni.'

'Aye aye sir!'

Semasa proses melapah kulit aku masih lagi stabil. Tumpuan sedikit lari berikutan saudara jauh dari Kota Singa baru sampai dan tiga pupu aku yang bisa mengetuk pintu iman, mengetuk dengan kencang pintu iman aku dengan memakai... tak baik cakap belakang-belakang.

Setelah pernafasan diatur semula, aku kembali ke posisi memegang kambing tersebut dengan tumpuan 120% lebih daripada biasa. Penat juga menjaga keunggulan dan status alfa dalam apa jua situasi sekalipun rupanya ya?.

Kulit habis dilapah. Masanya untuk menceraikan keempat-empat kaki kambing tersebut. BAM! Darah memercik ke muka, cermin mata, baju, kaki, jari kaki, selipar. Rambut terselamat kerana aku pakai topi. Ingat, gaya penting tidak kira apa jua situasi kamu berada.

Aku masih lagi kukuh dan gagah berdiri memegang badan kambing tersebut. Tiba masanya untuk Pak Ngah menguruskan bahagian dalaman, hati, jantung, limpa, peparu, hempedu, usus, apa cirit. Orang tua itu dalam gesa, ada urusan yang masih belum diselesaikan. Nak cepat punya pasal, dia terhiris kolon kambing tersebut.

Barua!

Bau macam sial.

Terus aku muntah. Kepala aku mula pening, badan mula rasa tak sedap. Aku minta diri, like that will ever happen. Aku main cabut je. Adab untuk pansi.

Terus demam.

Macam mana nak balun lamb chop malam ni. Aku seksa diri dengan starvasi selama 2 hari sudah. Nama pun demam, mana ada selera. Menggigil-gigil aku taip entri ni, kamu apa tahu?