Sedang menikmati secawan kopi di tepi tasik bersama beberapa rakan yang menceburi bidang pertanian, salah seorang daripada mereka memecah sunyi dengan:
'Lepas ni jika ada apa-apa majlis berkaitan pertanian, mereka tidak lagi setipikal cangkul batas dan berlalu pergi selepas orang ramai bertanggapan itu saja yang mereka tahu buat.'
Soal seorang lagi, 'kenapa sahabat?'
'Buta pekakkah kau kebelakangan ini sahabat? Apa surat khabar dibuat tisu tandas? Apa televisyen dibuat akuarium? Apa radio dibuat sangkar tempua?'
'Aku masih keliru. Benar aku tak ikuti apa-apa berkembangan nasional tapi kata-katamu menghiris halus organ dalamanku; menjadikan aku sedikit diambung marah.'
'Cukuplah beretorik. Apa tak tahukah kalian mereka dihantar ke seberang lautan menuntut ilmu penanaman moden, cukup meletakkan petani konvensional seperti kita jauh empat ke lima tiang di belakang?'
Jawapan silih berganti,
'Tak.'
'Tidak.'
'No.'
'Tidak berminat.'
'La.'
'Bini aku makin hari makin sihat makan hasil tanah aku, pemodenan punggung aku!' Seorang bentak lantas menyambung, 'Cangkul, pongkes, but Pua Chu Kang itu juga bisa menjadikan orang rumahku dari "L" ke ekstravaganza "XXL".'
Yang mengemukakan usul minta semua bertenang. Jarang dapat meluangkan masa dewasa ini, tak mahulah diisi malam itu dengan bertikam lidah. Katanya jika mahu berbalah, jadilah ahli parlimen.
'Pucuk pangkalnya mereka tak lagi sekeras android sedang apa-apa aturcara berkaitan pertanian bersidang. Silap-silap haribulan, mereka sendiri tolong dari zero to hero tanpa bantuan sesiapa termasuk tuan tanah.'
'Apa benar katamu itu sahabat? Jika benar mahu sahaja aku capai gagang telefon lantas mendail nombor yang berkenaan. Tanah aku solok, tak ramai yang tak tahu, populariti sangat dialu-alukan.'
Dinihari.
Isnin mula menaiki carta. Masing-masing meminta diri. Masing-masing bercaturan mahu minta Yang Berhormat turun padang. Seorang daripada mereka berfikir apakah sudi Yang Berhormat menyalai tubuh, berpeluh kepam, berlosyenkan selut pelbagai bersama petani konvensioal atau ada pembaharuan yang tidak memerlukan seseorang itu berpeluh sekolam sehari untuk mengerjakan sebidang tanah.
Jika ada, insan tersebut juga mahu patah-duakan papan kekuncinya dan mula berbakti kepada tanah-sedang yang dia tahu hanyalah membaja.