Perasaan pelik itu datang lagi. Sekejap.
Datang ia membawa deruan emosi yang sukar difahami; sesuatu benda yang sains sukar tafsiri. Sedetik.
Seolah berada di ambang kematian. Sekeliling rasa harmoni. Tenang. Segala beban disapu bersih meninggalkan sekujur tubuh yang masih panas, bernafas dan sedikit berpeluh.
Berpeluh bukan kerana penat.
Berpeluh bukan tanda takut.
Berpeluh bukan sebab dijangkiti epidemik.
Cuma setitis dua.
Titisan pertama, mengalir menuruni epidermis muka. Belum sempat ia jatuh ikut hukum graviti, beralih mediumlah ia dek disapu sehelai sapu tangan. Besar makna titisan pertama. Empunya badan gugup. Pertama kali rasa sebegitu kejur. Ibarat dipanah petir, berdiri tegak buat seketika dalam lautan manusia sibuk.
Titisan kedua, empunya badan tidak endahkan. Biarkan ia mengalir. Tahu dia tentang hukum alam satu lagi; tersejat cecair dek faktor suhu.
Di luar sana terik. Bersesuaian dengan waktu. Melangkah dia ke dalam. Redup dan sejuk.
Empunya badan kembali ke dunia asal. Jauh dia menghilang dalam sedar.
Kenapa?
Kenapa perasaan itu datang lagi?
Dulu ia datang tak sedahsyat ini. Datang ia diatur. Benda sudah tahu kesudahan. Perasaan itu tetap datang, cuma ia dapat disukat. 'Oh ini tahapnya.'
Kali ini ia sporadikal. Menyerang empunya badan kala itu juga, tanpa sebarang khabaran.
Epitome. Dia menyaksikan epitome. Tiada lagi lebih ulung melainkan apa yang disaksikan inderia kembarnya.
Dan seperti sedia kala, empunya badan hanya mampu berfantasi. Tiada ikhtiar mahu menguburkan satu benda yang beliau banggakan; ego.