Jika takut dipukul ombak jangan berumah di tepi pantai.
Gangguan monyet yang semakin menjadi-jadi kebalakangan ini membuatkan aku ingin memperkenalkan peribahasa yang membawa maksud yang sama seperti himpunan perkataan di atas tetapi menggunaan objek dan subjek yang lain.
Jika takut dihambat mawas jangan berumah di tengah hutan.
Melankolik memerhatikan cili yang ditanam beberapa bulan lepas dipiat, dipulas, dicabut monyet. Pasu terbalik, tanah dikorek, pecaj itu, tertunggang ini, what have you, angkara monyet.
Hobi aku kebelakangan ini adalah berkisar tentang agro. Bermula dengan menanam cili untuk pakai sendiri hinggalah tanaman untuk dekorasi laman. Bunga entah apa aku ambil dari hutan pun ada. Tiada tujuan mahu mengkomersilkan benda yang aku tanam, saja mahu isi masa senggang dan berbudi pada tanah.
Pantang nampak benda yang menyala, habis. Selesai.
Satu petang aku berkonfrontasi dengan adalah dalam 20 ekor macam tu monyet di hutan sebelah rumah aku. Aku cari batu kerikil kecil untuk digunakan sebagai "peluru". Pistol aku adalah lastik kayu. Kamu ingat lesen senjata api boleh main beli macam beli ayam dekat pasar ke?
Lengang. Mencicit berlari mereka bertempiaran dalam hutan. Pulang ke markas barangkali. Aku fikir itulah kali terakhir mereka melancarkan serangan kepada benda-benda yang ditanam baik dalam tanah mahupun dalam pasu, tak ketinggalan tumbuhan tergantung.
Aku betulkan semula tumbuhan/sayuran yang bersepah atas tanah. Mustahil mereka mahu datang lagi, aku sebegitu garang dan kejam dalam proses mempertahankan harta-benda aku. Tidurnya aku malam itu dengan senyuman penuh lega.
Silap.
Petang keesokan harinya mereka kembali-dalam gugusan yang lebih besar. berplatun-platun terlompat, terjerit, ter-apa benda lagi monyet buat.
Ah sudah. Tak makan saman betul monyet ni. Aku berpatah arang. Lantaklah apa yang mereka mahu buat. Aku penat dan lapar.
Senja berlabuh, suasana belakang rumah kembali trankuil. Aku jenguk. Aduh lah, macam dipukul bah. Aku dah naik malas nak betulkan. Betul hari ini, besok tersadai juga.
Malamnya itu aku buat beberapa panggilan.
'Ada tak bos?'
'Susahlah kawan. Itu orang biru sangat kacau punya.'
Seorang.
'Amacam?'
'Ada tu ada, mahal sikitlah.'
'Mahal macam mana?'
'Sebungkus RM70.'
'Takpelah.'
Lagi seorang.
'Ada tak? Aku nak sikit je. Segenggam pun jadilah.'
'OK. Lima hengget. Lapan bijik.'
'Mahal tu beb.'
'Itu aku punya segenggam. Dari aku pakai adik aku yang darjah satu punya genggam.'
'OK. Sat lagi aku sampai. Cekik darah betul.'
Pulang berurusan aku selubung dengan senyuman juga. Senyuman jahat.
Petang tadi. Seperti yang dijangkakan mereka kembali. Berpuak-puak, pelbagai gaya, pelbagai fiil, pelbagai identiti. Aku dah bersedia.
Dalam poket seluar ada sebatang pemetik api. Dalam poket satu lagi gugusan bahan letupan saiz mini.
Sambil melaungkan "Who's your daddy?" berulang kali, aku lontarkan satu demi satu bahan letupan saiz mini hingga mengakibatkan aku sendiri pekak temporari.
Aku kejar mereka menyusup di celah-celah hutan sampailah entah ke mana. Bahan letupan terakhir dibakar dan dilontarkan. Selang lima saat aku tempik "How do you like me now, biatch!".
Habis bahan letupan saiz mini. Bukan banyak mana pun. Lapan biji. Satu biji 400 meter mereka lari. Darab lapan.
Pulang ke rumah langit dah gelap. Bertepuk tampar sajalah aku dalam mencari jalan pulang. Puas hati aku.
Aku dah habis daya nak halang mereka dari terus buat tanaman aku macam harta mak bapak mereka sendiri.
Tolonglah mengerti, binatang.