Hening pagi satu Ramadhan dibuka dengan tayangan filem, macam biasa. Sama seperti hari-hari yang lain. Ritual bangun tidur aku mesti kena mengena dengan dua benda; muzik dan filem.
Jika muzik itu berkumandang tandanya bangkit aku cerah di langit. Berlainan dengan filem, aku pasti bangun awal dalam jam 4 atau 5 pagi untuk memastikan masa tak menghantui senggang.
Aku baru habis menonton filem The Freedom Writers lakonan Hillary Swank, Patrick Dempsey dan aktor-aktres lain yang bagi aku tak kiralah siapa, mereka betul menggoncang emosi dengan watak yang mereka pegang.
Isu-isu seperti perkauman, keharmonian antara kaum, pertelagahan antara kaum, gangster, pendidikan, rumah tangga, hubungan kekeluargaan menjadi intipati cerita ini.
Berdasarkan sebuah kisah benar berkenaan seorang guru, Erin Gruwell atau lebih mesra dengan panggilan Ms G, berusaha untu menyatu-padukan muridnya yang terdiri dari empat atau lebih suku kaum di Sekolah Tinggi Klasikal Wilson nun di California sana.
Untuk rujukan kisah yang sebenar sebelum ia difilemkan, klik sini: Freedom Writers
Jika kamu dah tonton baguslah. Jika belum silalah buat apa yang patut. Nuff said.
Isu perkauman kita di sini bagi aku cukup remeh berbanding mereka di luar sana. Di sini, golongan muda dari serata kaum duduk makan semeja bergurau tampar tanpa sebarang gusar kena hambat dengan batang paip. Di sana, golongan muda mereka kena hambat...dengan senjata automatik.
Di sini, orang-orang yang berumur secara amnya mengamalkan sifat perkauman tanpa belah bahagi. Mungkin subtle tapi kalau dah memanjang itu saja yang diamalkan maka sedangkan terang lagi bersuluh.
Kamu rasis, kamu supremasis, kamu sekian-sekian kaum atau warna kulit-power, kamu pro-nazi, kamu ekstrimis sesuatu bangsa, kamu boleh pergi bungkus kain baju dan pindah ke satu pulau ni.
O sebentar, pulau itu belum ada. Tunggu lava sejuk hingga membentuk satu kawasan penempatan baru dulu baru boleh. Di sana, kamu perjuangkanlah hak foni baloni. Hunuslah apa senjata tajam sekalipun, tak ada siapa kisah. Kaum superior? Tak wujud kerana di sana nanti sesama kamu sendiri tetap akan ada tikam belakang makan kawan.
Percayalah. Aku dah kena. Di pulau ini. Aku tinggal dekat pulau, untuk pengetahuan kamu. Nama tempat saja ada pulau, bukan literal sebentang tanah dikelilingi air masin.