Rabu, September 10, 2008

Kan ku letakkan sihir atas mu.

Alfavirus Chikungunya telah meragut banyak nyawa di seluruh pelusuk dunia. Dalam ramai-ramai yang mati, salah seorang daripadanya datang dari kalangan darah daging aku sendiri.

Khamis lepas tamatlah riwayat empunya badan yang menderita selama, kalau tak silap, tiga hari. Aku tak tahu bagaimana peritnya di serang alfavirus tersebut. Ikut kata doktor, penyakit ini mirip dengan demam denggi. Maka dengan itu aku dapat buat gambaran penyakit ini bukan boleh dibuat main kerana denggi boleh membawa maut.

Empunya badan masih lagi muda, di ambang 40-an, kira mudalah tu. Meninggalkan seorang balu dan seorang anak. Aku tak dapat ke rumah empunya badan mahupun ke tapak pengebumian beliau atas urusan yang tak dapat dielakkan.

Disebabkan bulan puasa, dan di tengah-tengah minggu, tak ramailah orang dari kalangan keluarga dapat hadir. Masing-masing bukan tinggal sepenanak nasi dengan empunya badan.

Jenazah dikebumikan hari Jumaat lepas solat Jumaat minggu lepas.

Berita sampai telinga aku pada hari Jumaat lepas jenazah dikebumi, disampaikan oleh orang tua aku. Aku tanya macam-macam dan penekanan lebih diberikan pada info punca kematian.

'Chikungunya.' Kata Abah.

La itu juga badan aku dah tak sedap.

Hari ini dah hari Selasa membawa makna sudah empat hari aku diserang demam. Mild fever, tak teruk mana pun, boleh lagi memandu dengan purata kelajuan 120km/j pada waktu siang. Di situ aku mampu menarik nafas lega kerana pesakit Chikungnya fotofobia.

Tapi bila fikir balik, aku juga fotofobia.

Eh bukannn...

Itu rabun silau.

Buat takut aku sajalah suara kecil dari tembolok aku ni.