Sehari selepas router disambar petir, aku buka casing router tersebut untuk mencari punca bau hangit plastik terbakar yang menusuk hidung. Aku perhati papan litar yang di mana tiada satu komponen pun aku tahu nama masing-masing, jauh lagi kegunaannya.
Aku perhatikan ada beberapa bahagian pada litar tersebut hitam. Hitam terbakar.
Kesimpulan aku, router disambar petir buat kali ketiga dan kali ini aku tak dapat menyaksikan bagaimana proses petir sambar, guruh berdentum, kilauan/percikan cahaya putih pada router yang sebelum ini telah 2 kali aku tengok.
Patutlah setiap kali aku cuba untuk buat sambungan ke internet sekejap sambung kejap kena tendang. Menerangkan betapa banyak draf entri yang berkepuk tak diposkan. Mahunya tidak, tengah sedap menaip dan-dan itu juga kotak mesej mini bertulis "network cable unplugged' muncul ditengah-tengah kepesatan memori bermulti-tugas.
Nasib baik kali ini tiada apa-apa berlaku pada komputer aku.
Itu epilog sepanjang seminggu aku tak berinternet. Kerja-kerja muat-turun tergendala yang membawa makna permintaan pada filem dan siri TV berkualiti tinggi berkurangan dan membawa aku kepada 1 lagi episod kecelakaan; tiada wang.
Baru sebentar aku pulang dari membeli sebuah router baru. Mahal sial, menyesal aku tak rosakkan router lama sebelum bulan Mei yang lepas. Jaminan tamat pada penghujung bulan Mei.
Ada ura-ura tak sedap berkenaan Telekom aku dengar dari mulut seorang rakan yang juga bekerja di Telekom berkenaan sambungan wayar yang dibuat pada rumah. Katanya ada satu komponen pada wayar tersebut kekurangan yang dimana lanjutan dari ketiadaaan komponen tersebut, semakin vulnerable komputer/modem/router pada serangan petir.
Sejauh mana kebenarannya, entahlah. Mungkin rakan aku itu mabuk Stout di siang hari, mungkin jika dia mabuk kepayang dek wang yang masuk mencurah-curah memandangkan hampir semua rumah di kawasan aku memerlukan perkhidmatan beliau.
Masa untuk bayar hutang seminggu berpuasa internet. Apa lust yang mahu aku penuhi, akan aku fikirkan nanti. Buat masa sekarang, fokus kepada proses memulihara kondisi dompet aku terutamanya dari aspek ketebalan.