Majlis rumah terbuka tak akan lengkap tanpa juadah seperti ketupat, lemang, rendang dan sate. Mana-mana pergi itu sajalah menunya.
Yang nak menampilkan kelainan dengan menghidangkan makanan Barat sangat jarang dilihat dan kebiasaannya sekali saja tuan rumah tersebut meghidangkan makanan eksotik kerana tak tahan dikutuk lupa resam lupa adat. Brilliant.
Apa itu rumah terbuka?
Ikut definisi aku rumah terbuka adalah hari di mana seorang pemilik rumah akan mengadakan majlis makan-makan dengan menjemput orang ramai datang. Untuk orang dewasa yang telah berumah tangga, rumah terbuka dijadikan medium untuk mereka merapatkan silaturrahim sesama jiran, saudara dan sahabat handai. Golongan muda pula menjadikan rumah terbuka sebagai medan untuk bertemu jodoh di samping makan percuma manakala kanak-kanak pula kebiasaannya jadi mangsa sebab tak nak kena tinggal keseorangan di rumah, nanti kena sorok dengan hantu kopek.
Itu pada persepsi akulah. Setiap generasi ada motif masing-masing ke rumah terbuka. Yang nak menunjuk-nunjuk pun ada. Lantaklah, itu urusan mereka.
Siang tadi ada majlis padang terbuka bersama pemimpin. Padang, you heard me twice. ADUN tempat aku turun padang. Makanan jangan cerita, sate sudah semestinya habis dahulu. yang tak laku mestilah air bandung. Aku tahu benda ni sebab aku dipaksa jaga booth air. Air lain licin, air bandung habis buat siram pokok sajalah.
Ramli Sarip, Ito, Kathy Ibrahim dan beberapa artis kontemperorari lain turut hadir untuk menceriakan majlis. Itu ikut cakap satu sumber lemah. Aku pada awalnya memang nak angkat kaki tapi memandangkan Ramli Sarip nak datang, aku batalkan hasrat aku untuk tidur bogel di petang Sabtu yang suam.
Tisu sebelas kotak aku habiskan untuk lap peluh. Bodoh punya bomoh tolak hujan. Pergi tolak awan-awan sekali buat apa?
Dan untuk mententeramkan kanak-kanak yang bakal mengundang masalah besar, pihak penganjur menyediakan Bobo dan Pakcik Popsikel.
Bobo(bukan nama sebenar) adalah badut yang diupah untuk melayan keletah anak kecil dan mak anak kecil serta kakak dan abang anak kecil yang tak sedar dibawa dek untung; dah tua-tua pun naik main belon bentuk zirafah.
Mujur ada Pakcik Popsikel. Sejuk sikit badan aku dan ratusan hadirin yang lain. Satu sial petang tadi adalah tempat duduk aku diambil orang. Nak halau, aku bukan orang yang macam tu. Aku kaya dengan budi bahasa, papa dengan harta.
Disebabkan aku fotofobia minor, 5 minit aku berdiri di bawah panas, aku muntah. Dalam bilik air. Berlari-lari sambil tahan mulut dengan tangan menuju ke sana.
Oleh yang demikian, aku ambil langkah selamat kerana aku tahu jika aku dah mula muntah maka jika aku terus dipanah terik mentari dalam tempoh 20 minit lagi, aku akan di-CPR oleh Abang Misai yang pakai seragam Red Crescent.
Aku balik. Melepas nak jerit 'apo kono jang oi?' dekat Ito.
Rumah tinggal dia 10 minit berjalan kaki dari rumah aku. Ya, rumah keluarga Ito. Terima kasih.