Sudah 2 hari aku berjaya menawan separuh gunung di tempat aku. Tak perlu perkakas mendaki gunung yang mahal-mahal, memadai dengan berkasut atau berselipar or better yet, berkaki ayam.
Semalam jam 5 petang, aku nekad untuk kembali bersenam setelah jatuh terduduk apabila terpandang jarum penunjuk mesin penimbang yang macam menipu.
Seingat aku dulu masa aku timbang, berat aku hanya 65kg. Berat yang ideal dengan ketinggian aku. Semalam hampir sahaja aku karate sampai terbelah 2 mesin timbang tersebut kerana mesin tersebut menipu aku dengan memberi nilai timbangan sebanyak 85kg.
Dan baru aku ingat kali terakhir aku timbang berat badan adalah 4 tahun lepas dan aku masih belum capai ketinggian yang sekarang.
Terbatal hasrat mahu assault benda yang tak bernyawa. Apakah aku punyai masalah berat badan? Persoalan ini menghantui tidur aku buat beberapa malam.
Dan baru aku teringat, I eat like a motherfucker. Makan tiada henti. Jika berhenti pun, berhenti dalam seminit untuk kasi perut lega dan sambung semula the eating saga, again, like a motherfucker.
Bermulanya Syawal pertama sampailah dah berapa Syawal dah ni, aku berevolusi menjadi jentera pengunyah. Dan semestinya aku tolak kuih-muih. Sungguh payah hendak mencari nasi kala Syawal membuatkan aku bedal apa sahaja makanan yang seberat nasi berlauk sampai tersandar.
Tak cukup perhabiskan beras rumah orang, aku balun lagi makan dekat kedai untuk memenuhi kehendak nafsu.
Dan betul, kerana nafsu aku lesu.
Lewat ini, hari aku dimulakan malas. Bertangguh dalam semua kerja sambil menggosok perut.
Hinggalah baru-baru ini sepupu aku yang berusia 4 tahun menegur, 'Apsal abang besar semacam?'
'Besar? Tolong sikit.'
'Eh. Tadi adik nampak perut abang maju ke depan, kenapa dah kempis?'
'Kontrol Hensem 101: Nampak perempuan cantik berhampiran, sila tahan nafas untuk beri visual bahawa kamu seorang figura alfa.'
'Tak faham. Blah la lu bang, kencing kuat!'
Kenapa perlu teguran anak kecil baru datang epifani. Setiap perubahan, setiap anjakan mesti perlu dikatalis minda naif. Dulu masa rambut aku macam lalang tak bertebas setahun, seorang budak juga yang tegur. Saat aku hanyut dibuai ombak imaginasi sendiri, jauh dibawa gelora hingga ke tengah, hero aku yang datang dengan bot penyelamat adalah dia yang alfabet pun tak khatam.
2 hari 2 kilogram lemak tak tepu dibakar. Metod aku mudah, sumbat telinga dengan lagu, berlari-lari anak di atas trek mendaki gunung yang bercerun landai dan kemudiannya setelah berjaya tawan separuh gunung tersebut, berlarilah ke taman rekreasi berdekatan yang mempunyai kelengkapan senaman awam.
Peruntukan masa sejam setengah untuk 1 hari.
Awal pagi tadi ketika embun menguasai lapangan rumput, seorang anak kecil(lagi?) anak kepada seorang rakan bertanyakan, 'Abang tak nak badan ketul-ketul ke? '
'Kenapa?'
'Dalam kelompok kita ni, ada dua jenis orang; satu, si boroi satu lagi si rata.'
'Uh-huh. Jadi?'
'Tak nak ke jadi lain daripada yang lain? Jadi kelompok ketiga? Yang di mana abang jadi perintis?'
'Entah.'
Jadi lain daripada yang lain. Berbadan sasa. Berketul-ketul bersayap berotot lengan sebesar enjin Kubota. Ish, aku pun naik jijik jika aku berbadan sebegitu rupa.
Petang tadi tahu-tahu sahaja aku dah sah jadi ahli gimnasium dekat tempat aku.
Jangan jadi kes panas dihajat hingga petang, hujan katastropik pula di tengah hari.