Terlebih dahulu, aku sangat suka durian. Lebih-lebih lagi durian yang gugur ikut nature; ranum isinya, enak baunya.
Sampai sekarang aku tak faham kenapa masih ada orang yang tak suka makan durian. Bau tolak tepilah, rasa dia tu mak datuk lazatnya. Takut demam, Panadol dekat mana-mana ada jual apa. Takut nafas berbau, kentut bau haram, kencing bau tungkik. Well, itu semua complementary, datang dengan pakej meratah hingga terjilat licin setiap ulas.
Aku tak banyak masa.
Aku beli durian dua biji. Sempat kupas, makan tak sempat. Pek dalam plastik sumbat dalam freezer. Mungkin, mungkin ada kelapangan aku pegi balun sampai habis.
Malam semalam aku lapang.
Dah dua minggu kena peram. Mesti lagi kaw-kaw dia punya pergi, kata rempit, berdesut. Tanpa mukadimah, aku makan seulas. Ada rasa pelik. Lantaklah. Dah lama tak bedal. Habis satu pek bersamaan sebiji durian. Bersandar, sendawa lepas tu hidu bau sendawa. Serius bau gampang. Tak mengapa, durian itu makanan bergas. Pernah tengok tupperware isi tempoyak meletup laksana gunung berapi Krakatoa? Macam itulah visualnya.
Aku tahu apa rasa sampingan yang datang bersama rasa asli sang durian. Aku cuma tak mahu terima kenyataan.
Kerana kenyataan itu sangat pahit, meloyakan jika mengikut situasi.
Kerana akulah pengamal Dasar Pandang ke Timur yang berpaksikan Negara Matahari Terbit secara tak sengaja.
Habis dua pek.
Bersandar.
Pasang rokok.
Muntah.
'Barua! Rasa ikan sial durian tadi.' Bisik aku sendirian.
Aku nak rangka pelan perniagaan dan kertas kerja tersebut akan aku submit pada MARDI. Akan aku pasarkan produk ini ke Jepun. Durian Ikan. Jangan ciplak idea aku, saman nanti taulah.