Liat sungguh badan nak pergi beli pakaian. Kali terakhir aku beli pakaian adalah dalam dua tahun lepas. Beli sekali sekarung, lima tahun punya pakai. Karung saiz gedabak, maklumlah lima tahun sekali.
Disebabkan kesemua baju dan seluar aku sudah kusam dan pudar selari dengan peredaran masa, sudah tiba masanya aku angkut karung guni saiz medium ke pusat membeli belah.
Semasa memilih pakaian, aku cuba ingat-ingat balik baju yang ada. Rasa-rasanya semua dalam kondisi yang baik. Setakat tercarik lima enam sentimeter tu boleh sarung lagi. Cover up pakai peniti. Macam tak biasa.
Seluar.
Semua macam gampang. Koyak-rabak. Celah kelengkanglah, poket belakanglah dan tak lain tak bukan, carik kompulsari di bahagian hujung seluar. Yang paling bawah tu. Apa entah nama dia. Kaki seluar...kot.
Cek dompet. Aiseh.
Karung guni saiz medium dikeronyok dan disimpan elok dalam tong sampah berhampiran. Nampak gayanya sepasang seluar sajalah.
Lumrah manusia, laju langkah diorak menuju ke slot pakaian yang ada letak papan tanda comel yang di atasnya terlakar nilai diskaun.
Kalau tak ada, bisikan seperti 'pergi mampus sama kau' atau 'lingkuplah kompeni kau, tungkik bacin punya kapitalis' akan meniti di bibir kita atau segelintir kita. Well, tak semua orang beli pakaian main capai dan campak di kaunter pembayaran dan sekali dengan aktiviti mencapak, kad kredit juga turut sama dicampak untuk menampakkan betapa mewah kehidupannya seharian.
Sasaran dikenalpasti. Deretan seluar slack pelbagai warna kemas digantung dan ditempatkan atas tempat sangkut pakaian beroda. Dan yang paling penting sekali, papan tanda diskaun 50%. Dengan julat harga sekitar Rm50 ke RM200, aku rasa aku masih mampu lagi. Diskaunlah katakan.
Dalam gopoh memilih, aku tak perasan tulisan kecil ini "EXCLUDING PINK TAG". Aku dah buat kira-kira, paling mahal pun RM100. Cari yang murah sikit, kena dengan kemampuan(emphasis kepada ketandusan ekonomi per individu).
Cuba punya cuba, hati pun berkenan. Maka bertanyalah empunya badan ke apa-nama-orang-yang-selalu-menyibuk-bila-kita-dok-belek-barang-dekat-mana-mana-tempat-yang ada-produk berapa harga selepas diskaun walhal itulah yang paling mudah sekali untuk dikira. Bahagi dua dapatlah nilai baru. Bukan apa, saja mahu uji ilmu hisab orang tu.
'Sekian-sekian wang.'
'Eh, kata ada diskaun punya. Itu full price.'
'Incik tada baca itu kecik punya tulisan ka?'
'Hello, spek tebal. Tolong memahami sikit.'
'Mari sini saya tolong baca.'
Berjalan perlahan ke tempat terpacaknya papan diskaun tersebut.
'Fifty percent discount on all item. Itu kicik dia tulis excluding pink tag item.'
'Apa pasat itu macam punya mehh? Tada diskaun la itu macam.'
'Apa pasat?'
Lagi kau nak tanya ya. Dah sah-sah semua pakaian bertag warna merah jambu.
Cukup mudah kita terpedaya. Apa boleh buat, beli jugalah. Takkan nak pulang tangan kosong.