Selasa, Ogos 12, 2008

Secangkir kopi suburbia.

Berlalunya siang berganti senja. Jauh dari hiruk pikuk, damai dengan hembusan nyaman yang bebas dari segala macam karbon, pepohon hijau yang masih utuh berdiri sayang diterokai, membuat jiwa rasa berat untuk gerudi tempurung dan mengucapkan selamat datang pembangunan.

Tidak. Tidak sebegitu mundur. Pembangunan itu ada, kemajuan itu ada, globalisasi itu ada, begitu juga aliran deras pemodenan; juga ada, cuma tidak sederas jatuhnya air dari puncak Sagil ke Kolam Puteri.

Hairan melihat gugusan manusia cuba mengembalikan nostalgia di kota. Nostalgia celup yang dibelakangi si kapitalis haloba. Keaslian itu jadi busuk, hilang serinya dek percubaan menyatukan dua generasi dalam satu.

Tak menjadi wahai lintah penyedut darah.

Ada beberapa percubaan dibuat yang disusuli dengan keluh hampa.

Tak menjadi wahai lintah penyedut darah.

Percubaan yang dibuat bukan sahaja memadamkan harapan bahkan mengambus terus, tiada sinar. Betapa bangsatnya kambus berbanding padam disimpulkan dengan kerja menulis semula lebih mudah daripada menggali.

Bidalan mudah.

Tapi cukup untuk dijadikan sandaran untuk menangkis satu demi satu fraude yang musnah satu berduyun datang mengganti.

Marah, bukan.

Kecewa, ya.

Kerana

kopi

yang

dihidang

pakai

uncang.

Mana pergi hari baik dahulu? Mana pergi mesin pengisar biji kopi?

Mana?

Dah dijual kepada Si Karung Guni.

Mana pintu kayu berukir?

Mana?

Dah dibuat kayu api.

Mana simen pecah jadi alas kaki?

Mana?

Ditutupi jubin, menutupi cela.

Sekarang bercerita pula tentang kesempurnaan?

Huh.

Duhai lintah penyedut darah yang memakai sut mewah, hisap curut rantau orang, pulanglah ke sawahmu. Bendang ini bukan tempat cuba dan jaya. Ia kekal. Ia sejarah. Ia dogma.

Jangan.

Kembalikanlah mesin pengisar kopi. Kembalikanlah pintu kayu berukir. Kopakkanlah jubin mewah. Ralat kaki mahu dilunjurkan atas bangku tak berpenghuni.

Kerana suburbia ini masih lagi berimba. Seimbang nisbahnya. Terpelihara keunikannya.

Shooh! Shooh! Pergi main tempat lain.