Khamis, Julai 03, 2008

Petualang Alfa : Aku Bilang Cukup, Cukuplah. Dulu Kertas BM Kena Ambil Dua Kali Ke? Ya, Kertas Julai, Idiot!

Politik.

Kalau boleh aku tak nak sentuh langsung pasal lapangan ni. Aku terpaksa, maaf bagi sesiapa yang terasa. Jangan lepas ini ada pula orang datang bawa jamung nak bakar tempat tinggal aku hanya kerana aku rasa dipergunakan.

Berikut merupakan cerita-cerinti berkenaan ahli parti, perwakilan yang dikatakan hanyut dibuai mimpi metropolitan dan pemimpin yang berkenaan. Diingatkan di sini tiada sebarang kontroversi tala belakang, persoalan siapa yang tahan dinding, siapa sudu besar, sudu kecil, yang berkaitan tidak.

Salah satu perwakilan dari tempat aku telah berjaya menjawat jawatan dalam kabinet. Bukan kabinet simpan lauk, bijiran sarapan hatta makanan kucing. Ini kabinet yang memerintah. Kamu cerdik bukan?

Aku terima satu panggilan telefon malam semalam dari seorang orang kuat parti. Parti apa? Faham-faham sudahlah. Orang Kuat Parti atau singkatannya OKP mohon khidmat aku dalam mempengaruhi orang ramai untuk mengangkat seorang umat naik menjadi perwakilan yang baru.

Mesyuarat tergempar dalam minggu ini atau minggu depan, katanya, sangat memerlukan orang-orang macam aku. Tidak ketinggalan OKP juga menjemput aku menyertai majlis makan malam bersama pemimpin kawasan tempatan di entah, tak ingat, Isnin hadapan.

OKP sudah lama tak berhubung dengan aku sejak dia begitu taksub dengan persada politik. Menjadi satu keajaiban malam tadi entah epifani apa mengetuk isi kepalanya tiba-tiba terkenangkan aku. Mungkin disebabkan kewibawaan aku dalam mencetus persoalan kritikal ketika sidang mesyuarat anual parti peringkat bahagian tahun yang sudah.

Ya, aku ke sana bukan atas dasar parti tersebut; aku hanya mahu memporak-perandakan petang mereka dengan usul yang nampak macam tak masuk akal tapi jika difikirkan semula, masing-masing menepuk dahi sambil mengeluh lantas berkata, 'Kenapalah aku tak terfikir apa yang dia cakap? Untung-untung nombor telefon golongan puteri berebut nak ambil. Nak bunuh dirilah macam ni.'

Dari mana datang usul-usul yang kreatif nan radikal janganlah dipersoalkan. Tidak akan ada benda lain yang boleh menjana idea sedemikian rupa jika tak dikataliskan Eliksir Cap Harimau dan beberapa teguk Kelab 99. Jika tak disebabkan masalah alkohol, dari lepas habis sekolah lagi aku dah calonkan diri sendiri bertanding menentang orang-orang yang tak boleh pakai. Aku ada kualiti seorang pemimpin...pemimpin satu perkataan yang gah, diktator. Aku ada kualiti seorang diktator yang berkaliber.

Menyedari keupayaan aku memanipulasi orang yang berpengaruh, kurang berpengaruh, tidak berpengaruh, yang tak tahu maksud pengaruh, OKP siap cakap, 'Tolong datang ya.' dalam nada yang sayu di penghujung talian.

Teka apa? Cukuplah kemunafikan yang aku sarung sejak aku habis sekolah lagi. Persalinan tersebut aku masih simpan untuk diwariskan kepada mereka yang bodoh tapi cerdik.

Bodoh kerana terlampau taksub, cerdik kerana sejak lahir akal dah cerah. Nak buat macam mana lagi?

Mesyuarat tu aku tolak tepi, jamuan makan malam itu aku perlu rujuk semula. Selamat duit poket aku.