Makin lama anak buah aku duduk di bawah satu bumbung, makin risau aku dibuatnya.
Kebebasan ultimate yang selama ini aku salah gunakan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dunia pengayun(swinger).
Banyak benda aku kena catu, ubah, lupakan, tinggalkan. Embargo kebebasan.
Sekeras-keras batu, berlekuk juga jika kena siram air 24 jam.
Memberontak itu benda biasa. Jika aku ada diari. dah aku isi penuh tiga buah yang masing-masing berjudul "Rebel Yell", "Aku Punya Suka" dan "Regardless of Anything : A Journey Foretold". Yang di mana setiap diari dikelaskan dari faktor masa, jenis, tahap, lingkungan radiasi, tumpuan dan sasaran.
Tapi diari itu tak pernah ada. Dan aku rajin pula nak tengok tulisan aku yang aku sendiri ada kalanya keliru.
Dan baguslah aku tak catat kerana itu akan jadi rekod. Aku cepat lupa, itu satu anugerah kerana aku tak pernah rasa menyesal dengan benda yang pernah dibuat. Kita kena kejar masa, jika kerap menoleh kebelakang menyesali benda yang telah berlaku alamatnya kamu selamanya terperangkap dalam lingkungan tersebut. Jadi takut nak mencuba, selamanya dalam penafian.
Eloklah tu.
Mengenangkan sebelum ini semua kain dalam rumah ini telah dipotretkan dengan pelbagai kisah kehidupan, dan kesemua potret tersebut diwarnakan dengan cat minyak, maka tak hairanlah masing-masing yang di bawah satu bumbung ini membawa haluan sendiri tanpa perlu ambil kesah tentang yang lain.
Sebelum ini.
Sekarang sudah ada kain putih yang dihantar khas dari alam roh ke alam nyata. Kain aku banyak sangat dot hitam. Dalam genggaman aku ada sebatang berus yang baru aku buka bungkusannya. Bau kedai lagi. Berus ini jika salah celup, salah olahan tangan mengemudi potret yang bakal dicoretkan pada kain tersebut, aku pasti kain putih tersebut tidak akan diterima mana-mana mesin basuh, kedai dobi apatah lagi dry-cleaning.
Oleh kerana itu, tiada lagi See You Next Tuesday, Cloacal Kiss, Sikth, Ignite, As The Sun Sets, boleh sampai esok kalau nak senaraikan kesemua penghuni iTunes aku yang mengundang kepada perihal kain putih di atas, berkumandang di stereo.
Simfoni, orkestra, klasik, jazz, lagu-lagu menguap, selamat datang aku ucapkan. Semoga kain putih ini bercoret pelangi, berstruktur lagi teratur hendaknya.
Sedap sungguh teh aku bancuh.