Tokan. Istilah yang diguna pakai untuk menggambarkan seseorang yang menjadi pengedar kepada sesuatu produk. Produk itu pula jika elok asalnya, elok isinya, elok kandungannya, pengedar itu tidak sesama sekali akan digelar sebagai tokan.
Tokan. Dalam kamus tak ada. Bahasa pasar la ni. Hai... Macam-macam la orang zaman sekarang menggelar orang.
Tokan. Kan tak semenggah bunyinya tu. Bunyi pun dah tak sedap. Nasib baik tiada maksud yang sebetul-betul yang dicatat pada mana-mana dokumen.
Aku tokan. Walaupun berat jari ini untuk menaip kebenaran tapi itulah dia. Aku tak jumpa istilah lain yang lebih sesuai dengan profesyen aku ni. Profesyen? Pekerjaan sebenarnya. Jadi tokan nak ijazah sarjana apa ciritnya?
Bermula sebagai seorang penternak ikan air tawar, aku mula berjinak-jinak dengan industri penyiaran. Dulu ada orang televisyen datang buat liputan dekat kolam ternak aku, 2 bulan lepas tu terus jatuh suey. Ikan matilah, air kolam keringlah, banjirlah, ikan kena rembatlah, tayar lori kena pancitkanlah, pendek kata semua cabaran yang datang, datang selepas orang televisyen tu buat dokumentari pasal ikan.
Mereka betul bawa suey, paling tidak pun pemicu ataupun penggerak kepada sumpahan jatuh ditimpa tangga kemudian ditimpa pula pokok rambai yang di tanam depan rumah. Berperingkat. Sedang aku membaiki kerosakan akibat banjir, air pula kering dek kemarau panjang.
Duit habis buat kerja pembaikan jelah memanjang. Aku jemu. Aku dah meluat. Tengok ikan je aku terus naik angin. Pernah sekali aku tengok National Geographic dekat televisyen, dan-dan tu jelah keluar cerita pasal ikan laut dalam. Apa lagi, aku capai kerusi dan terus menghumban kerusi tersebut tepat pada kaca skrin. Itu belum aku imbas episod-episod kerumahtanggaan yang membuatkan aku menduda hampir 7 tahun ni.
Sendiri mau ingatlah. Aku taknak makan ikan, pergi pasar dia beli juga ikan. Malas aku nak cerita yang lain. Tambahan, aku masih lagi keseorangan. Pada yang berminat akan aku sertakan alamat dan nombor telefon di penghujung entri ini.
Pada satu hari, lepas sebulan aku secara rasmi kehilangan sumber pendapatan utama keluarga dan juga status suami, aku pergi ke pasar malam. Kali terakhir aku ke pasar malam masa umur aku baru menginjak 25, itulah kali pertama dan terakhir ke pasar malam.
Aku ke sana setelah mendapat desas-desus berkenaan kekeramatan pasar malam sebagai tempat bertemu jodoh. Aku jumpa dengan janda aku masa aku tengah belek-belek seluar trek nak buat pergi kebun dan janda aku sedang belek baju tidur. Bila mata bertentang mata, ehem.
Sedih pula. Aku terus lompat kepada cerita kali kedua aku ke pasar malam. Aku sunyi beb. Manalah taukan, rezeki masing-masing. Suasana yang sangat berbeza. Lain, sungguh lain. Dah macam funfair. Zaman dulu-dulu adalah bising sikit dari kawasan perkuburan. Sekarang, amboiiii. Meriahnya.
Aku pun jalan-jalan. Belek-belek apa yang patut. Banyak gerai yang dibuka tapi 1 gerai ni, dia punya pelanggan huisshh, macam orang tengok menantu Perdana Menteri beri ceramahlah ramainya. Aku pun apa lagi, berdesut la menyertai gerombolan manusia yang terpinga-pinga di bahagian belakang dan kekhusyukan di bahagian depan.
Selinap punya selinap sampai juga aku di barisan hadapan.
Loh! Terus aku tutup mata. Dalam 2 saat macam tu, lepas tu buka balik. Di depan aku terhidang himpunan VCD, DVD dan pita magnetik lucah. Dia punya cover sangatlah memberahikan. Patutlah ramai orang berkunjung dari awal.
Aku tak bawa duit masa tu. Bila aku raba-raba poket, aku didatangi epifani. Bisnes.
Ya, perniagaan yang bawa untung pat-pat siku lipat. Eh. Berlipat kali ganda dari apa yang aku usahakan dulu. Sekeping VCD 5 ringgit, sekeping DVD 10 ringgit, sekeping pita magnetik 15 ringgit. Aku dok perhatikan pelanggan, seorang beli dekat sepuluh keping. 'WOW!' Jerit aku dalam hati sambil menggigit bibir tanda riang dengan epifani tersebut.
Orang ramai mula beransur pulang. Para peniaga sudah mula kemas-kemas. Aku yang dari tadi dok fikirkan kereta mewah, rumah besar siap berkolam renang dan seekor pony cepat-cepat kembali ke realiti dan bergegas ke gerai peniaga cerita lucah tersebut.
Aku ingin mempelajari semua benda yang perlu untuk aku memulakan perniagaan cerita lucah. Bagus, semua kelengkapan yang penting untuk proses penghasilan aku catat. Dia bagi syarat. Dia tak mahu aku kacau perniagaannya. Dia tak mahu pesaing. Dia tak mahu nampak muka aku bila mana dia meniaga. Siap ambil gambar pakai telefon bimbit lagi.
Berbekalkan duit yang aku simpan hasil aku bertani, upah kopek lantun dan simpanan hari tua di ASB, aku memulakan perniagaan tersebut. Banyak benda elektronik aku kena beli. Makan puluh-puluh ribu jugalah. Tak mengapa, besok lusa duit tu beranaklah.
Setelah berkecimpung hampir 2 tahun dalam perniagaan ini, aku telah berjaya menstabilkan ekonomi persendirian. Empayar perniagaan aku kini mencakupi bahagian barat daya dan ke selatan tanah air. Budak selekeh yang ajar aku tu pun dah mati sebab overdose kokain. Aku ada rumah banglo 4 tingkat, kereta mewah 3 biji termasuk sebuah MPV senang aku nak angkut stripper bawa balik rumah. Pony? Dah beranak pinak pun. Lengkap. Semua dah ada.
Satu saja yang aku tak dapat nak miliki dan itulah dia satu-satunya benda yang kesali sampailah sekarang. Hasil dari apa yang aku buat selama ini panas. Aku tak boleh nak bekeluarga kembali. Perdagangan by-product kepada industri adulteri tak boleh memberikan aku kebahagiaan muktamad.
Oh, jika kamu tertanya-tanya kenapa LHDN tak serbu rumah aku, aku ada solusi aku sendiri. Aku bijak menyamar. Talam dua belas muka. Cukup penerangan tentang kejayaan aku mengaburi LHDN, mari beralih kepada kesimpulan. Banyak CD dan DVD yang perlu aku burn malam ni.
Disimpulkan di sini seelok-eloknya setiap benda yang melalui esofagus dan bakal menjadi sebahagian dari tubuh biarlah datang dari sumber yang elok. Parah beb kalau datang hasil dari sumber yang meragukan. Aku nak derma dekat anak yatim pun serba salah. Nak beli kalender 1 seringgit tu pun berkerut kening. Serba tak kenalah.
Dah. Oh. Hampir terlupa. Tak payahlah aku sertakan alamat serta nombor telefon. Kamu semua dah tahu kerja yang aku buat. Tak pasal-pasal je karang.