Dulu masa kecil, mak aku selalu suruh aku baca buku. Aku pun bacalah. Adalah dalam 5 minit aku mengadap lepas tu aku toleh kiri kanan jenguk dapur kasi riki line dan terus aku berdesut ke mana sahaja arah angin bertiup.
5 minit yang berharga itulah bekalan aku di hari tua. Sekurang-kurangnya aku kenal nombor. Huruf jawi rumi pun dah pass. Membaca, merangkak-rangkak sikit, tergagap-gagap sikit takkan nak berkira kut. Operasi matematik aku telah kuasai dengan jayanya, tambah dan tolak sahaja.
Bagi aku itu sudah memadai. Aku nak pandai-pandai pun nak buat apa? Kuota orang-orang pandai dalam Malaya sudah berlebihan. Aku harus menjaga keseimbangan akademik, satu tugas yang perlukan banyak pengorbanan.
Kamu ingat aku main-main ke?
Aku bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas aku yakni mewujudkan ratio yang saksama sejajar dengan Rancangan Malaya Ke-n.
Siapa yang nak jadi petani jika skrolnya bercatat sarjana muda kejuruteraan? Kamu gila ke apa? Siapa yang nak berjemur tengah panas sambung batu-bata, cat, paku jika dalam tangannya adalah segenggam ijazah seni arkitektur? Siapa yang nak tangkap ikan jika di dinding rumahnya terpaku ijazah Sains Marin?
Mujur aku matang sebelum sampai usia. Dari kecil aku telah memikirkan konsep keseimbangan pekerjaan dalam sosio-masyarakat. Tak ada-ada pun, cuma sedikit pemutaran fakta dari teori-teori filasuf terkemuka. Dan itu yang aku pegang sampailah sekarang.
Jika kamu masih kabur, pergi jumpa optometris dan cek mata. Jika perlu buatlah sebingkai cermin mata. Jika tak, amalkan pemakanan yang seimbang, lebihkan sayur dalam setiap sajian.
Aku ada sekeping sijil. 2 keping. Eh, 3 keping sijil sebenarnya. Satu sijil memandu kenderaan kelas B2, D dan H, satu lagi sijil SPM dan yang terakhir sijil kahwin. Aku belum kahwin, bujang lagi. Saja ambil awal-awal sementara masih murah dan sekejap ni. Dengar cerita tak lama lagi yuran dah naik, kursus pun dari 2 hari jadi seminggu.
Aku menjawat jawatan senior driver syarikat pengangkutan awam Southern. Perjalanan bas aku bermula dari Terminal 1 di Seremban hinggalah ke Pusat Hentian Bas Tampin lepas itu patah balik ke Seremban dan sebegitulah kitarannya. Pandu sampai lebam.
Aku tak pernah merungut dengan kerjaya aku sebagai pemandu bas domestik. Gaji yang diperoleh boleh menampung ansuran bulanan kereta Perodua Viva sebiji dan sebiji Toyota Alphard.
Tak percaya? Aku berani kerat jari la. Kamu ingat pemandu bas ni sengkek ke? Aku tinggal dengan orang tua aku, membawa makna duit sewa rumah, api, air aku tak payah nak fikir. Semua orang tua aku bayar. Tapi aku tak adalah kejam sangat. Sebulan aku adalah hulur sikit buat duit belanja dapur.
OK. Aku nak pergi pam tayar bas aku dan oh, seperkara lagi. Sijil sarjana kamu sila gulung kemas-kemas dan letakkan ia di loteng, kolong mahupun sawah milik keluarga kamu. Jangan gunakan ia untuk tujuan mencari pekerjaan.
Setiap yang remeh dan setiap yang lekeh jika ada kesungguhan dalam melaksanakan ia, pasti sedepuk yang kamu dapat.
Satu lagi, jangan terperdaya dengan jerat Multi Level Marketing. Mereka cakap je bukan MLM tapi samma jugak. Nasib baik aku suku terjebak.